PUTATAN: Kesedaran terhadap pengesanan awal kanser serviks perlu diperkukuh di peringkat komuniti bagi mengurangkan risiko kematian akibat penyakit berkenaan yang masih menjadi antara punca utama kematian wanita di peringkat global.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata kanser serviks atau kanser pangkal rahim kini berada di kedudukan keempat penyebab kematian wanita di seluruh dunia, dengan majoriti kes hanya dikesan pada peringkat lewat.
“Sebahagian besar pesakit hanya mengetahui mereka menghidap kanser serviks ketika berada pada tahap tiga atau empat, sedangkan penyakit ini boleh dikesan lebih awal melalui saringan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Projek Pendidikan Kesihatan anjuran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dengan kerjasama Klinik Kesihatan Putatan.
Menurut Shahelmey, pengesanan awal melalui ujian pap smear bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah dapat mengurangkan kos rawatan serta kesan jangka panjang terhadap kualiti hidup wanita.
“Kesedaran awam perlu dipertingkatkan supaya wanita tidak menunggu sehingga simptom serius muncul sebelum mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan saringan kesihatan wanita boleh diperoleh di semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta, namun tahap kesedaran untuk tampil menjalani pemeriksaan masih rendah dalam kalangan sesetengah kumpulan masyarakat.
“Inisiatif pendidikan kesihatan seperti ini penting untuk mengubah persepsi dan tingkah laku kesihatan wanita agar lebih proaktif menjaga kesihatan diri,” katanya.
Program bertemakan Pengesanan Awal Kanser Serviks Jaminan Kesejahteraan Wanita itu turut disifatkan sebagai antara langkah berkesan dalam menyokong agenda kesihatan awam negara, khususnya dalam usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan wanita.
