PAPAR: Sabah mencipta sejarah baharu apabila Projek Pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah bernilai RM130.6 juta di Beringgis, Papar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kampus baharu seluas 34 ekar itu bakal menjadi pemangkin pembangunan modal insan negeri, khususnya dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sektor pembinaan.
“Kampus ini mampu menampung 700 pelatih pada satu masa, sekali gus tingkatkan kapasiti latihan belia sebanyak 73 peratus dan personel binaan sebanyak 39 peratus berbanding kampus sementara di Kayu Madang,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, pembinaan kampus ini selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan akan menjadikan Sabah sebagai hab TVET Pembinaan di Malaysia Timur.
Tambah beliau, sejak ditubuhkan, ABM Sabah dan CIDB Tech telah melatih lebih 7,000 pelatih, dengan kadar kebolehpasaran mencecah 85 peratus.
“Antara bidang latihan yang mendapat permintaan tinggi termasuk kimpalan, pemasangan paip gas, scaffold erection, elektrik, operasi jentera dan penyaman udara – kemahiran yang turut diperlukan dalam sektor minyak dan gas antarabangsa.
“Kampus moden ini akan dilengkapi teknologi terkini termasuk penggunaan dron, simulasi dan peralatan digital, bagi memenuhi keperluan industri masa kini,” katanya.
Limpahan ekonomi untuk Papar
Hajiji berkata, kampus ini dijangka membawa limpahan ekonomi ke Papar, terutamanya di sekitar Kampung Beringgis, serta memperkukuh kedudukan Sabah dalam landskap latihan teknikal negara.
Beliau turut berharap kampus ini mampu melahirkan ikon TVET baharu seperti Rudy Mohammad, alumni ABM Sabah yang berjaya ke peringkat dunia dalam bidang Architectural Drafting dan diiktiraf sebagai Ikon TVET Pembinaan 2024.
Majlis turut menyaksikan pertukaran MoU antara ABM Sabah dengan tiga rakan strategik: SHAREDA, KTI Sdn Bhd, dan Tas Institute of Oil & Gas, bagi membuka peluang pekerjaan kepada graduan dalam sektor perumahan, pembinaan serta minyak dan gas.
Dewan baharu dinamakan sempena Tan Sri Osu Sukam
Dalam majlis sama, Hajiji mengumumkan pembinaan Dewan Masyarakat Kampung Beringgis yang akan dinamakan Dewan Tan Sri Osu Sukam, sebagai penghargaan kepada jasa bekas Ketua Menteri Sabah itu.