Kadar miskin tegar menurun, pendekatan agresif dilaksanakan di Sabah – Hajiji

PAPAR :  Kerajaan negeri berjaya mengurangkan kadar miskin tegar daripada 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar kepada hanya 5,379 , di Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima

Hajiji Noor berkata, pelbagai pendekatan bersifat agresif dilakukan bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah.

Katanya, kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), KIR atau ahli isi rumah golongan miskin tegar ditawarkan pekerjaan melibatkan beberapa agensi kerajaan serta syarikat swasta.

“Kerajaan negeri bertekad untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan. Pendekatan bersifat agresif ini akan terus kita lakukan bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah, insya Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri 1446H/2024M di Dewan Masyarakat Papar di sini hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin merasmikan majlis sambutan itu.

Hajiji berkata, ketibaan tahun baharu Hijrah diiringi sambutan Maal Hijrah mampu menyemarakkan semangat juang sekali gus menggilap cita-cita dalam jiwa semua umat Islam.

“Bukan sahaja dalam mengejar impian dan harapan, tetapi juga dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan selaku anggota masyarakat,

“Terutamanya selaku penjawat  awam berperanan sebagai penggerak serta pelaksana program pembangunan negeri dan negara,” jelas Hajiji.

Menurutnya, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” mengajak umat Islam untuk terus bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan dan kesejahteraan dalam kehidupan.

“Lebih-lebih lagi, sebagai rakyat Malaysia selama ini tertanam di hati agar sentiasa bermuhasabah diri, berusaha gigih bagi mencapai kejayaan.

“Sama ada untuk diri sendiri atau pun kejayaan untuk organisasi yang kita wakili, seterusnya kejayaan untuk tanahair yang tercinta,” kata Hajiji.

Beliau mengajak seluruh rakyat agar memberikan komitmen setulusnya bagi menjayakan pembangunan negeri ini.

“Ketepikanlah perbezaan, sebaliknya raikan persamaan yang telah kita kongsi bersama selama ini.

“Pupuklah semangat kekitaan, eratkan persaudaraan, bersama kita berusaha, ramai- ramai kita bekerja, demi menjayakan misi dan visi Malaysia Madani serta Hala Tuju SMJ,” tambah Hajiji.