KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mempersoalkan tindakan Kabinet Persekutuan yang didakwanya “bercakap lain, buat lain”.
Ini selepas mesyuarat khas Kabinet menghormati hak 40 peratus Sabah tetapi dalam masa sama memutuskan untuk memfailkan Notis Rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Menurut Ewon, rakyat Sabah berhak mengetahui lapan perkara yang cuba dicabar kerajaan Persekutuan sebelum membuat keputusan dalam Pilihan Raya Negeri.
Ewon, calon UPKO bagi kerusi Kadamaian, menegaskan bahawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta seluruh Kabinet — termasuk Perdana Menteri — perlu tampil menjelaskan secara terbuka kandungan rayuan tersebut.
Katanya, keputusan Kabinet untuk merayu sebahagian penghakiman pada 13 November bercanggah dengan komitmen yang diumumkan kepada rakyat Sabah.
Beliau turut membidas kenyataan Anthony yang menuduhnya bermain “wayang politik”, sambil menegaskan isu 40 peratus bukan perkara baharu atau retorik pilihan raya.
Menurut Ewon, hak itu telah dibangkitkan secara konsisten sejak 2022 dan merupakan tuntutan struktur perundangan yang tidak boleh disamakan dengan peruntukan pembangunan bawah senarai Persekutuan.
“Selama tiga tahun saya menyatakan perkara sama. Hak 40 peratus bukan ihsan kerajaan pusat, ia kewajipan undang-undang. Tetapi di mana suara Anthony sepanjang tiga tahun itu?” soalnya.
Ewon berkata keputusan beliau meletakkan jawatan serta membawa UPKO keluar daripada Pakatan Harapan adalah mesej jelas bahawa Sabah tidak boleh terus dipinggirkan dalam isu asas Perjanjian Malaysia.
Ewon turut menyifatkan Sabah Law Society serta anak muda Sabah yang berani menuntut jawapan secara terbuka — termasuk soalan “Bila mahu bayar 40 peratus?” kepada Perdana Menteri — sebagai “hero sebenar” perjuangan ini.
Beliau berkata keutamaan UPKO kini adalah memastikan bayaran segera hak 40 peratus, menangani kemiskinan tegar dan menyediakan peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat Sabah.
“Saya hormati perbezaan pandangan dalam politik, tetapi ada garisan yang tidak boleh dikompromi. Inilah red line saya — hak Sabah mesti ditegakkan tanpa tunduk kepada percaturan politik pusat,” katanya sambil mendoakan kekuatan kepada pemimpin Persekutuan untuk menunaikan kewajipan mereka kepada negeri ini.
