JKR arah pembaikan sementara jalan rosak Sapulut–Kalabakan KM87

TAWAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengesahkan berlaku kerosakan jalan di Jalan Sapulut–Kalabakan pada jarak KM87.000, berhampiran kawasan RT Plantations serta Asiatic Organic Farm & Longhouse Resort.

Menurut kenyataan JKR, syarikat konsesi yang terlibat telah diarahkan melaksanakan kerja pembaikan sementara dengan kadar segera bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, JKR memaklumkan bahawa pembaikan kekal bagi permukaan jalan tersebut masih tertakluk kepada Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defect Liability Period) oleh syarikat kontraktor yang dilantik, yang berkuat kuasa sehingga November 2026.

JKR Sabah turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan jalan berkenaan dan mengambil tindakan susulan sekiranya diperlukan bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan kelancaran trafik di laluan tersebut.

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan, khususnya dalam keadaan cuaca buruk.