KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat RELA Sabah, Brig. Jen. (Kehormat) Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, hari ini membuat laporan polis terhadap Pemangku Presiden Parti MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz.
Ia susulan kenyataan Amira yang didakwa berunsur fitnah serta cubaan menghasut rakyat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Jerry berkata, kenyataan Amira dalam laporan Malaysiakini 27 Ogos lalu tidak berasas kerana dibuat tanpa bukti kukuh dan boleh mencemar nama baik SPRM.
Menurutnya, gesaan Amira supaya orang ramai membuat laporan polis terhadap Azam adalah cubaan politik kepartian untuk menjatuhkan keyakinan rakyat terhadap SPRM.
Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan undang-undang jika wujud unsur fitnah atau hasutan.
“Jangan biarkan kepentingan politik sempit merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara,” tegasnya.