Jeffery Nor sokong cadangan Ewon lantik profesional korporat ke GLC Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Umno Putatan, Jeffery Nor Mohamed menyuarakan sokongan terhadap cadangan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick supaya pelantikan profesional korporat dilaksanakan dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Sabah.

Jeffery berkata, GLC milik kerajaan negeri ditubuhkan sebagai sumber pendapatan utama kepada kerajaan dan tidak seharusnya dijadikan platform kepentingan atau leverage politik.

Menurutnya, sebarang perubahan terhadap struktur dan sistem pelantikan ahli lembaga pengarah GLC perlu berasaskan merit, keupayaan serta tadbir urus korporat yang baik bagi memastikan prestasi kewangan yang mampan dan progresif.

“Budaya korporat perlu diterapkan dengan segera. ‘Mindset’ lama mesti diubah dan GLC tidak lagi boleh dianggap sebagai instrumen kepentingan politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffery berkata, GLC Sabah perlu memberi tumpuan kepada idea kreatif, pembangunan modal insan pelbagai peringkat, pengukuhan perniagaan teras serta menjalin kerjasama strategik di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi menjana pendapatan tambahan tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan negeri.

Beliau turut mengalu-alukan arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mewajibkan GLC mengemukakan laporan prestasi setiap tiga bulan, bagi meningkatkan tahap akauntabiliti dan mengelakkan pengurusan sambil lewa.

Katanya, GLC yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan boleh dikaji semula dan dipertimbangkan untuk digabungkan dengan syarikat lain dalam kementerian sama bagi mengurangkan liabiliti kredit serta kos operasi.

Jeffery berkata, GLC Sabah perlu keluar daripada zon selesa dan berani berinovasi supaya mampu menjadi pemangkin utama kepada pendapatan negeri, dengan pulangan akhirnya dapat dimanfaatkan oleh rakyat Sabah.