‘Jangan ulang kesilapan, kerajaan gagal tak wajar diberi peluang lagi’ – Hajiji

KOTA KINABALU: Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi amaran keras kepada pengundi Sabah agar tidak “mengulangi kesilapan” memilih parti yang pernah tumbang selepas hanya dua tahun setengah memerintah,

Beliau menegaskan gabungan itu menawarkan politik yang lebih stabil dan berpijak pada rekod sebenar, bukan retorik.

Berucap di Darau, Hajiji berkata lima tahun pentadbiran GRS sudah membuktikan bahawa kerajaan negeri mampu mengangkat ekonomi Sabah ke tahap lebih tinggi,

“Disamping itu melaksanakan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, serta memperkukuh perlindungan sosial kepada rakyat paling memerlukan.

“Kalau mahu Sabah terus maju, pilihlah GRS pada 29 November ini. Bukti sudah ada,” katanya.

Dalam nada lebih tegas, beliau menyifatkan parti lawan sebagai kerajaan gagal yang ditolak rakyat kerana tidak memenuhi janji ketika berkuasa.

“Kalau tidak gagal, mereka tidak akan tumbang seawal dua tahun setengah. Jangan tertipu janji bulan dan bintang mereka,” katanya disambut tepukan penyokong.

Hajiji juga menegaskan hanya kerajaan stabil mampu menyelesaikan isu-isu rakyat termasuk masalah tanah kampung dan setinggan yang menghantui komuniti di Darau dan Karambunai.

Beliau mendedahkan kabinet negeri sebelum pembubaran DUN telah meluluskan dasar mewartakan tanah kerajaan di sekitar Kota Kinabalu sebagai rizab kampung untuk penduduk tempatan.

“Ini masalah lama. Kita ambil tindakan konkrit — bukan sekadar berjanji,” katanya.

Beliau berkata, selain pewartaan tanah, kerajaan turut merancang pembinaan perumahan rakyat khusus untuk penduduk terjejas di dua kawasan itu.

“Kita mahu anak Sabah ada tempat tinggal yang sah, teratur dan bermaruah.”

Mengulas calon GRS di Darau dan Karambunai, Hajiji menyifatkan kedua-duanya sebagai pemimpin berpengalaman yang mampu meneruskan agenda pembangunan.

“Inilah masa untuk kita angkat mereka sebagai wakil rakyat baharu yang mampu berkhidmat dengan rekod, bukan dengan retorik.”