KOTA KINABALU – Ketua Pergerakan Sekretariat Inanam, Lewis Wong, memberi amaran bahawa sebarang cubaan Kerajaan Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak 40 peratus hasil bersih Sabah akan dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata keputusan mahkamah itu bukan sekadar penghakiman undang-undang, tetapi pengiktirafan yang sudah lama tertangguh terhadap hak dan maruah rakyat Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
“Selama berdekad rakyat Sabah dinafikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan. Keputusan ini membuktikan bahawa kerajaan pusat mempunyai tanggungjawab moral dan perlembagaan untuk menunaikannya – bukan lagi ruang untuk berdalih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lewis menegaskan, jika kerajaan masih memilih untuk merayu keputusan tersebut, ia hanya akan menghancurkan kepercayaan rakyat Sabah terhadap keikhlasan kepimpinan nasional.
“Rayuan bukan jalan penyelesaian, ia tanda penafian terhadap janji MA63. Jangan ulangi kesilapan lalu. Sabah sudah cukup bersabar,” tegasnya.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera melaksanakan keputusan mahkamah itu dan memulakan rundingan semakan hasil mengikut peruntukan Perlembagaan.
“Sabah tidak menuntut lebih, kami hanya menuntut apa yang telah dijanjikan. Rakyat mahu tindakan, bukan lagi ucapan. Ini masa untuk membuktikan keikhlasan dan membina semula kepercayaan,” ujarnya.
Lewis berkata, penghormatan terhadap keputusan mahkamah ini adalah ujian terhadap integriti negara dan komitmen sebenar kerajaan terhadap keadilan wilayah.
“Rakyat Sabah sedang memerhati. Seluruh Malaysia juga sedang memerhati. Hormatilah kehakiman, junjunglah MA63 dan buktikan semangat perpaduan itu melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata,” katanya
