PUTATAN: Kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat setempat perlu diperkukuh bagi memastikan Putatan kekal sebagai kawasan yang selesa serta selamat untuk didiami, kata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya.
Beliau berkata hubungan holistik antara penduduk dan pihak berkuasa amat penting bagi menjamin tahap penguatkuasaan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Semua pihak perlu berganding bahu dan memberikan perkhidmatan secara berterusan, bukan hanya bertindak selepas menerima aduan,” katanya selepas mengadakan program walkabout di sekitar Taman Jumbo dan Taman Friendship, di sini, hari ini.
Shahelmey berkata program turun padang itu membolehkan pihak berkaitan meneliti secara langsung permasalahan yang dihadapi penduduk, termasuk isu perparitan, jalan raya, pengurusan sampah dan penyelenggaraan pokok.
Menurutnya, terdapat kawasan perumahan yang menghadapi kesukaran penyelenggaraan apabila pemilik tidak memberikan kerjasama, sekali gus menyebabkan longkang tersumbat dan berpotensi menimbulkan masalah kesihatan seperti pembiakan nyamuk Aedes.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak konsesi menjalankan kerja penyelenggaraan secara berkala, manakala pihak berkuasa tempatan meningkatkan pemantauan bagi menangani isu perumahan dengan lebih berkesan.
“Saya juga berharap penduduk setempat memainkan peranan sebagai mata dan telinga supaya sebarang masalah dapat ditangani dengan lebih cepat dan berterusan,” katanya.
