Isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar perlu ditangani segera – Ewon

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan akan mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar yang menjejaskan operasi sektor perindustrian negeri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke SBH Kibing New Solar Energy di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar.

Menurutnya, isu logistik dan kecekapan pelabuhan bukan sahaja memberi kesan kepada Kibing Solar, malah turut melibatkan pemain industri lain di Sabah.

Ewon turut memuji pencapaian Kibing Solar sebagai antara pelaburan perindustrian utama negeri, termasuk komitmen syarikat menggaji lebih 84 peratus pekerja tempatan serta sumbangan kepada pembangunan ekonomi melalui program tanggungjawab sosial korporat.

Beliau menegaskan pengukuhan ekosistem logistik dan infrastruktur pelabuhan penting bagi menyokong pertumbuhan industri dan menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Sabah.