KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi membincangkan isu semasa serta perkara berkaitan keselamatan di negeri ini.
Pertemuan yang berlangsung di Sri Gaya, di sini hari ini, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan tahap keselamatan serta ketenteraman awam di Sabah sentiasa terpelihara.
Mohd Khalid hadir bersama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun selain beberapa pegawai kanan dari Bukit Aman.
Perbincangan itu turut menyentuh usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan pasukan keselamatan dalam menangani cabaran keselamatan semasa demi kesejahteraan rakyat.
