Imigresen Tahan 14 PATI di Kota Kinabalu dan Penampang

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Ops Kutip, Ops Selera dan Ops Sapu yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysaia Negeri Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.

Menurutnya, seramai 108 individu terdiri daripada warganegara Malaysia dan warga asing diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, 14 PATI ditahan membabitkan 13 warganegara Filipina iaitu lapan lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa, serta seorang lelaki dewasa warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa pas atau dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melanggar undang-undang imigresen dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.