TAWAU : Aktiviti operasi perlombongan emas perlu diberhentikan secara serta-merta dipercayai diusahakan oleh Syarikat Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB) di Bukit Mantri, Tawau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, ini bagi membolehkan sehingga keputusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baharu dapat dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
Katanya, secara tidak langsung keputusan laporan EIA itu akan dapat mendedahkan senarai penuh bahan toksik yang terlibat dalam operasi tersebut.
“Ini susulan berkaitan sebuah video tular membabitkan kejadian tumpahan bahan toksik yang melibatkan sodium sianida di kawasan lombong emas milik Wullersdorf Resources Sdn Bhd di Bukit Mantri.
“Kita menggesa Kerajaan Negeri memberi penjelasan mengapa tiada sebarang amaran segera diberikan kepada penduduk kampung yang tinggal di kawasan sekitarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sarifuddin berkata, kegagalan sistem amaran awal serta langkah keselamatan awam ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Video yang kini tersebar luas menunjukkan tebing kolam takungan sudah runtuh dan mengakibatkan air sisa yang dipercayai mengandungi bahan beracun mengalir ke kawasan sekeliling.
“Pekerja serta komuniti yang tinggal berhampiran tidak dimaklumkan secara rasmi tentang pencemaran tersebut walaupun ia membawa risiko kesihatan yang serius,” jelas Sarifuddin.
Menurutnya, di mana protokol kecemasan? Mengapa tiada amaran dikeluarkan kepada keluarga supaya tidak menggunakan air sungai untuk diminum atau mandi?
“Ini bukan sekadar kegagalan dari segi peraturan tetapi satu pengabaian nyawa manusia. Kesihatan rakyat kita lebih berharga daripada emas.
“Kejadian alam sekitar sememangnya boleh berlaku tetapi dengan berdiam diri dan gagal bertindak dalam menghadapi pencemaran toksik adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan,” kata Sarifuddin.
