TUARAN: Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Henry Saimpon, disifatkan sebagai calon paling sesuai untuk memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan Sabah sekiranya parti itu diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda berkata, pengalaman Henry sebagai bekas pemain bola sepak kebangsaan dan negeri Sabah, selain penglibatannya dalam pengurusan pasukan Sabah FC, membuktikan beliau mempunyai keupayaan serta pengetahuan luas dalam bidang sukan dan kepimpinan belia.
“Sebab itu, kita pilih Henry sebagai calon KDM di DUN Kiulu, bukan sahaja untuk memajukan sukan dan belia tetapi juga membawa perubahan landskap pembangunan di Kiulu.
InshaAllah, jika kita menang PRN, kita beri peranan kepada Henry sebagai Menteri Belia dan Sukan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Liga Bola Sepak Tertutup Kiulu di Padang Pukak, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden KDM, Dr Oswald Aisat, Dr Gaim James Lunkapis, serta Setiausaha Agung parti, Willie Jude.
Wetrom menambah, pengundi muda memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju politik negeri ini dan perlu membuat keputusan bijak pada PRN nanti demi masa depan Sabah dan golongan belia yang lebih gemilang.