Harga tak selaras, kedai serbaneka disiasat KPDN Labuan

LABUAN: Sebuah kedai serbaneka di sini disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan selepas didapati mempamerkan harga barang yang tidak selaras.

Pemeriksaan dilakukan hasil aduan pengguna pada Ahad lalu oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menurut KPDN, pemeriksaan mendapati harga RM2.20 dipamerkan pada barangan jualan, namun harga RM2.80 dicaj ketika pembayaran di kaunter selepas diimbas melalui sistem.

“Keadaan ini boleh mengelirukan pengguna dan disyaki melanggar Perenggan 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana memberi gambaran mengelirukan mengenai harga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Barangan terlibat telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan, peniaga boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

KPDN Labuan mengingatkan peniaga supaya memastikan paparan harga jelas dan selaras dengan harga di kaunter bagi mengelakkan tindakan undang-undang, selain menasihati pengguna agar menyemak harga dan menyimpan resit pembelian.