Hampir 40kg Syabu Dirampas di Penampang

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar dengan rampasan hampir 40 kilogram syabu dalam beberapa serbuan di Penampang, awal bulan ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata operasi berkenaan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah hasil risikan berterusan.

Menurutnya, serbuan utama dilakukan pada 6 Januari lalu di sebuah rumah di Taman Donggongon, Penampang, yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan serta rampasan 40 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 39.5 kilogram.

“Nilai pasaran rampasan dianggarkan RM1.26 juta dan berpotensi menampung lebih 112,000 kali penggunaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut membawa kepada satu lagi tangkapan pada 2 Januari di sebuah apartmen di Beverly Hills, Penampang, melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun, bersama rampasan dadah lain termasuk ekstasi dan ketamin.

Jauteh turut mendedahkan sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan laut serta perkhidmatan syarikat penghantaran, dengan modus operandi menyembunyikan dadah dalam barangan harian seperti papan pemotong.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.