Halang Isteri Bermalam, Menantu Datang Mengamuk Bawa Samurai

TAWAU: Tindakan mengugut bapa mentua menggunakan pedang samurai dan parang membawa padah apabila dua lelaki tempatan ditahan polis dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Asli, Merotai Besar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suspek utama yang juga menantu mangsa dipercayai bertindak agresif selepas tidak bersetuju isterinya bermalam di rumah bapanya sebelum berlaku pertengkaran keluarga.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek utama dilihat memegang pedang samurai manakala adik lelakinya membawa parang sambil mengugut mangsa sehingga menimbulkan ketakutan.

“Mangsa yang berusia 63 tahun berasa terancam sebelum tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Merotai Besar.

Menurut polis, suspek utama berusia 39 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori dipercayai mempunyai rekod kesalahan lampau, manakala suspek kedua berusia 27 tahun dan tiada rekod jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.