KOTA KINABALU: Sabah menegaskan pendirian untuk berdiri seiring Sarawak dalam mempertahankan hak mutlak negeri ke atas tanah, dasar laut, subsoil dan pelantar benua, yang disifatkan sebagai asas kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, berkata hak berkenaan bukan pemberian atau konsesi sementara kerajaan persekutuan, sebaliknya syarat utama persetujuan pembentukan Malaysia pada 1963.
“Hak ini dijamin Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipadamkan secara unilateral melalui mana-mana akta Parlimen, termasuk Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffrey berkata Sabah dan Sarawak berada pada kedudukan perlembagaan yang sama sebagai rakan setara dalam Persekutuan, seperti diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pemilikan Sabah ke atas wilayahnya wujud sebelum Hari Malaysia dan tidak pernah diserahkan melalui referendum awam atau resolusi Dewan Undangan Negeri.
Mengulas isu petroleum, beliau berkata sebelum PDA 1974, Sabah mempunyai kuasa penuh ke atas minyak dan gasnya, termasuk menandatangani perjanjian secara langsung dengan syarikat antarabangsa.
Beliau berkata pada 1969, Sabah menetapkan kadar royalti petroleum sebanyak 12.5% tanpa memerlukan kelulusan kerajaan persekutuan.
Jeffrey menegaskan PDA 1974 diluluskan tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri Sabah dan tidak meminda Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menolak dakwaan bahawa akta itu memindahkan pemilikan minyak dan gas Sabah kepada Petronas.
Beliau turut merujuk Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan sempadan negeri tidak boleh diubah tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri dan Majlis Raja-Raja.
Katanya, pengambilalihan kawalan ke atas dasar laut dan subsoil tanpa persetujuan Sabah adalah seolah-olah mengubah sempadan negeri secara tersirat dan menjadikan pelaksanaan PDA di Sabah tidak berperlembagaan.
Jeffrey berkata penerimaan naratif itu membawa kesan besar apabila Sabah pada 1976 terpaksa menerima pengurangan royalti minyak kepada hanya 5%.
“Walaupun ratusan bilion ringgit hasil petroleum dikeluarkan, Sabah menerima bahagian yang kecil, antara faktor negeri ini terus ketinggalan dari segi pembangunan walaupun kaya dengan sumber,” katanya.
Beliau berkata Sabah dan Sarawak perlu bergerak seiring sebagai Blok Borneo bagi mempertahankan hak negeri dan kepentingan rakyat.
“Kami tidak mengancam Persekutuan, sebaliknya mahu memastikan Malaysia berfungsi sebagai perkongsian rakan setara seperti yang dipersetujui ketika pembentukannya,” katanya.
