Hak 40 peratus itu hak Sabah, bukan ihsan – Ewon Benedick

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa perjuangannya menuntut hak 40 peratus hasil Sabah kekal konsisten sepanjang tiga tahun berada dalam Kabinet Persekutuan.

Beliau berkata hak tersebut, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh disamakan dengan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah di bawah Senarai Persekutuan.

“Hak 40 peratus ini ialah hak perlembagaan Sabah, bukan ihsan pentadbiran pusat,” tegasnya.

Ewon mengulas penjelasan Perdana Menteri di Parlimen yang mengakui kedudukan hak 40 peratus itu dilindungi Perlembagaan, sambil menegaskan bahawa sebarang proses rayuan mahkamah tidak akan menukar fakta bahawa hak tersebut sah milik Sabah.

Menurutnya, Penghakiman Bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025 adalah dokumen penting yang perlu diketahui rakyat kerana ia mengukuhkan tuntutan Sabah terhadap hak berkenaan.

“Kita harus raikan wira sebenar Sabah iaitu Sabah Law Society dan anak muda di Tamu Gaya yang berani bertanya ‘bila mau bayar 40%?’,” katanya lagi.

Ewon menegaskan bahawa PRN Sabah kali ini wajar dijadikan referendum rakyat untuk mempertahankan hak 40 peratus dengan menyokong parti-parti tempatan yang benar-benar memperjuangkan kepentingan negeri.