“Hak Ishak, Keputusan Hajiji” – Star Kekal Pembangkang kata Jeffrey

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menegaskan pendirian untuk kekal sebagai pembangkang meskipun ADUN Bingkor, Ishak Ayub, menerima pelantikan sebagai pembantu menteri dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pelantikan tersebut tidak melibatkan sebarang rundingan parti, sebaliknya merupakan keputusan langsung Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Pelantikan Ishak adalah keputusan Ketua Menteri. Beliau merupakan wakil rakyat yang dipilih di Bingkor, dan kami menghormati hak peribadinya untuk menerima peranan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffrey berkata meskipun Star memenangi hanya dua kerusi dalam PRN Sabah – Tambunan (Jeffrey) dan Bingkor (Ishak) – parti itu akan terus berperanan sebagai “pembangkang yang bertanggungjawab.”

Beliau menegaskan Star akan menyokong dasar yang mempertahankan hak Sabah, autonomi negeri, dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun tidak akan teragak-agak menentang sebarang tindakan yang merugikan kepentingan negeri.

“Star akan terus berkhidmat dengan integriti, disiplin dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Jeffrey turut mengulangi pendirian bahawa Sabah perlu ditadbir oleh parti-parti berasaskan negeri, selari dengan kebimbangan beberapa pemimpin GRS dan Adun Bebas terhadap kemasukan pemimpin parti Semenanjung ke dalam kabinet negeri.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan GRS meraih 29 kerusi, diikuti Warisan (25), BN (6), Bebas (5), Upko (3), Star (2), manakala PN, KDM dan PH masing-masing satu kerusi. Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-17 pada awal pagi Ahad lalu, bersama sembilan anggota kabinet negeri.