Hak 40 peratus Sabah: Adalah baik Jabatan Peguam Negara tidak kemuka rayuan – Ronald

KOTA KINABALU : Demi semangat pembentukan negara Malaysia, adalah baik jika pihak Jabatan Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi ini, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam yang memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

“Keputusan penting dan bersejarah. Keputusan yang telah lama dinanti oleh rakyat Malaysia di Sabah.

“Ianya selari dengan tuntutan rakyat Sabah bahawa kerajaan Persekutuan telah sekian lama menidakkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya.

Hakim Celestina Stuel Galid, ketika membacakan keputusan mengisytiharkan bahawa perintah pemberian khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah tidak sah, ultra vires (melampaui kuasa) dan tidak rasional, sekali gus melanggar Perlembagaan.

Kes tersebut dimulakan oleh Sabah Law Society (SLS) pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan kerajaan Persekutuan menegakkan hak hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.