KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, semalam.
Kunjungan tersebut diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang menyampaikan jemputan rasmi serta memberi taklimat kepada Ketua Menteri berhubung penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026.
Majlis anugerah yang diadakan dua tahun sekali itu dijadual berlangsung pada 6 Februari depan di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.
Menurut Nizam, sebanyak 16 kategori anugerah akan dipertandingkan bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah.
Hajiji dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah kepada atlet Sabah yang berjaya menyumbang 10 pingat emas, 15 perak dan 15 gangsa pada Sukan Para ASEAN (APG) Ke-13 di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan atlet Sabah memiliki keupayaan tinggi untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa selain menjadi contoh dan inspirasi kepada golongan belia.
Dalam kejohanan itu, atlet Sabah turut mencipta rekod baharu menerusi acara lompat jauh lelaki T12 dengan lompatan sejauh 6.83 meter.
