Hajiji sindir pembangkang: “Retorik kosong, GRS pula tunjuk hasil lima tahun”

KUDAT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mempertahankan rekod pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sambil menyelar pembangkang yang didakwa hanya mengulangi tuduhan tanpa menawarkan pelan pembangunan yang jelas.

Hajiji berkata, sejak lima tahun mentadbir, kerajaan negeri telah membuktikan prestasi melalui angka pelaburan, pengembangan ekonomi dan projek pembangunan strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Kita bukan bercakap kosong seperti pembangkang yang suka membuat fitnah dan macam-macam retorik tetapi sebenarnya kosong,” katanya dalam ucapannya di Kudat.

Menurutnya, antara pencapaian besar kerajaan adalah pembukaan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, yang disifatkan sebagai langkah baharu untuk menggerakkan sektor ekonomi marin dan perindustrian berasaskan sumber laut.

Beliau berkata, perancangan jangka panjang seperti itu tidak pernah muncul ketika pentadbiran terdahulu, malah hanya dirangka selepas GRS mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

“Inilah kerajaan yang membawa pelbagai kebaikan kepada rakyat. Dulu kita tidak dengar perancangan seperti ini tetapi hanya kerajaan GRS yang memikirkannya,” katanya.

Hajiji menegaskan bahawa projek perindustrian tersebut akan membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan pendapatan tempatan dan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti Kudat yang bergantung kepada sektor perikanan dan perdagangan kecil.

“Jika semua perancangan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya, rakyat di daerah ini yang paling untung,” katanya sambil menyeru pengundi menilai pembangunan berdasarkan rekod kerja, bukan retorik.