KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyeru golongan muda yang kini menjadi separuh daripada 1.72 juta pengundi di negeri ini supaya membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Beliau berkata, anak muda wajar memberi peluang kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meneruskan hala tuju pembangunan negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah membuktikan hasil positif sejak dilaksanakan.
“Daripada 1.72 juta pengundi di Sabah, orang muda merangkumi separuh daripadanya.
“Saya harap mereka beri peluang kepada kerajaan kerana kita mempunyai pelan jelas untuk membangunkan Sabah dan memajukan ekonomi negeri,” katanya di sini hari ini.
Hajiji turut menegaskan kepentingan kestabilan politik di Sabah dan menyeru rakyat agar menyokong kerjasama GRS–Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya penting bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.
“Kita mahu Sabah maju dan untuk capai kemajuan, kita perlu ada kestabilan politik serta hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Jangan ulang kesilapan lalu yang hanya merugikan rakyat,” katanya.
Menurutnya, PRN kali ini adalah peluang keemasan untuk rakyat memilih kerajaan yang kuat, stabil dan didominasi parti tempatan yang memahami aspirasi sebenar rakyat Sabah.
“Sabah tidak boleh terus ketinggalan. Kita mesti buat pilihan terbaik demi masa depan negeri.
“Anak muda perlu jadi ejen perubahan, menilai pencapaian kerajaan dan menjelaskan kepada masyarakat apa yang telah kita capai,” ujarnya.
Hajiji berkata, Sabah kini berada di landasan yang betul untuk terus maju dalam bidang teknologi baharu, TVET dan ekonomi digital.
“Yang penting, kita mesti bersatu padu, kekalkan kestabilan dan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Insya-Allah Sabah akan terus maju dan makmur,” katanya.