KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berhubung hak negeri terhadap pemberian khas 40 peratus hasil daripada Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keputusan itu mengesahkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D.
“Kami lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan menjalankan semakan semula ke atas geran bagi tahun-tahun yang terlepas dalam tempoh 90 hari.
“Keputusan ini membuktikan hak Sabah diiktiraf dan tidak boleh diketepikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hajiji, kemenangan itu juga mengiktiraf peranan kerajaan negeri yang konsisten memperjuangkan hak perlembagaan negeri dalam semua mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Kami berjuang tanpa henti melalui setiap saluran rasmi — dalam mesyuarat MA63 dan pelbagai surat rasmi dihantar ke Putrajaya. Tidak sekali pun kami membiarkan isu ini terhenti,” tegasnya.
Beliau berkata, keputusan itu turut membuktikan usaha kerajaan negeri memperjelas rekod sejarah termasuk “Perkongsian Pertumbuhan Hasil Persekutuan yang Diperoleh daripada Sabah” bagi tempoh 1964 hingga 1968, memainkan peranan penting dalam menegaskan maksud sebenar peruntukan 40 peratus tersebut.
“Penerimaan bayaran interim sama sekali tidak menjejaskan hak perlembagaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan perintah mahkamah itu dalam semangat saling menghormati demi memastikan hak perlembagaan Sabah direalisasikan sepenuhnya.
Beliau turut memuji tindakan SLS membawa isu itu ke mahkamah sebagai satu kes berkepentingan awam yang memperkukuh kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Celestina Stuel Galid, mengarahkan kedua-dua kerajaan — Persekutuan dan Negeri — mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan, seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
