Hajiji lantik Andrew Sheng sebagai penasihat khas

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melantik tokoh kewangan Asia, Tan Sri Andrew Sheng, sebagai penasihat khas beliau.

Menurut Hajiji, pelantikan itu dibuat bagi memanfaatkan pengalaman luas Sheng dalam sektor kewangan, ekonomi dan pelaburan untuk kepentingan pembangunan Sabah.

“Kami menantikan sumbangannya, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya selepas pertemuan dengan Sheng di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, hari ini.

Sheng ialah rakyat Malaysia yang dibesarkan di Sabah dan kini berpangkalan di Hong Kong. Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi kewangan serantau dan antarabangsa.

Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Pengurus Kanan Bank Dunia serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.

Beliau kini turut berkhidmat dalam beberapa badan penasihat kewangan antarabangsa, selain menjadi profesor khas dalam bidang kewangan.

Pada April 2013, majalah TIME menamakan Andrew Sheng sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia.