KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen Sabah bagi membincangkan isu-isu semasa melibatkan kepentingan rakyat serta hal ehwal pentadbiran, di sini semalam.
Pertemuan yang berlangsung di Sri Gaya itu memberi tumpuan kepada pandangan, maklum balas dan cadangan Ahli Parlimen berhubung perkara-perkara yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi, termasuk isu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Saya mengambil maklum pandangan serta cadangan yang dikemukakan, khususnya berkaitan keperluan rakyat dan cabaran pelaksanaan dasar di peringkat daerah serta pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hajiji, perbincangan turut merangkumi aspek pentadbiran dan penyelarasan antara agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta wakil rakyat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Antara Ahli Parlimen yang hadir ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Shahelmey Yahya (Putatan), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Lo Su Fui (Tawau), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Riduan Rubin (Tenom).
