Hajiji adakan makan malam bersama MP Sabah, bincang kerjasama PETRONAS

KUALA LUMPUR — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menghadiri majlis makan malam bersama beberapa Ahli Parlimen Sabah di ibu negara malam tadi.

Majlis yang dihoskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, itu berlangsung di Semuka Cafe, Seri Negara.

Menurut kenyataan, pertemuan berkenaan dimanfaatkan Hajiji untuk berbincang pelbagai isu semasa bersama Ahli-Ahli Parlimen Sabah, termasuk berkongsi perkembangan kerjasama kerajaan negeri dengan PETRONAS menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA).

Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Tawau merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui; Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; serta Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.

Terdahulu, Hajiji menyaksikan majlis pertukaran dokumen sempena memperingati kerjasama antara kerajaan negeri Sabah dan PETRONAS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).