Guna Wang Palsu RM100, Lelaki Dipenjara Setahun

KOTA MARUDU: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Kota Marudu, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan menggunakan wang kertas palsu bernilai RM100.

Tertuduh, Masli Asong, 30, yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Pekan Goshen, di sini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menggunakan wang kertas palsu sebagai wang tulen.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bermula 11 Februari 2026, tarikh sabitan.

Kes dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPD Kota Marudu dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Pendakwaan dikendalikan oleh Insp Seanhilary Miting Pakoi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simiun Lomudin berkata, kesalahan melibatkan wang kertas palsu adalah jenayah serius dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menerima wang tunai dan segera membuat laporan jika mengesyaki wang palsu.