KOTA KINABALU: Seorang penolong jurutera Pejabat Daerah Kecil Kiulu diheret ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan melebihi RM218,000 membabitkan perniagaan ahli keluarganya.
Tertuduh, Aldey Kangit, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperoleh rasuah berjumlah RM75,998.10 dan RM142,490.50 bagi pihak sepupunya melalui sebuah syarikat, masing-masing pada 22 Ogos dan 13 September 2023.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda berat jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM10,000 serta dua penjamin tempatan, selain dikenakan syarat melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport.
Kes ditetapkan untuk pengurusan pada 23 Februari 2026.
