KOTA KINABALU – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut menegaskan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, meskipun dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menarik diri daripada gabungan itu.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, keputusan Parti Solidariti Tanahairku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk tidak lagi bersama GRS perlu dihormati.
“Kita berharap pemimpin GRS di Kuamut bertenang menghadapi kemelut ini. Sebaliknya, kita perlu memperkasa gerak kerja dan strategi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Naib Presiden Gagasan Rakyat itu turut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada pilihan raya akan datang.
Masiung yakin meskipun STAR dan SAPP meninggalkan GRS, kerjasama GRS bersama Pakatan Harapan (PH) tetap berupaya membentuk kerajaan, sekali gus mengekalkan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah selepas PRN-17.
Katanya, selepas penarikan diri STAR dan SAPP, GRS Kuamut kini hanya dianggotai tiga parti komponen iaitu Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan USNO.
Terdahulu, dalam mesyuarat Majlis Presiden GRS pada Rabu lalu, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, menyatakan hasrat untuk bertanding secara solo selepas enggan terikat dengan kuota agihan kerusi menerusi persefahaman GRS–PH.
Pada PRN-16 lalu, STAR bertanding di lapan kerusi dan berjaya memenangi enam kerusi, manakala SAPP tidak memenangi sebarang kerusi.