KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak dakwaan Datuk Suhaimi Nasir kononnya kerajaan negeri gagal menangani isu tenaga di Sabah.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata tuduhan itu tidak berasas kerana kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sudah mengambil pelbagai langkah menyeluruh bagi menyelesaikan isu legasi tenaga.
Antara langkah itu termasuk cadangan pelaksanaan projek Southern Link, iaitu talian penghantaran 330 kilometer dari Sipitang ke Tawau yang bakal melengkapkan grid tenaga Sabah dan mengurangkan kebergantungan Pantai Timur kepada talian Kolopis–Segaliud.
“Kerajaan negeri juga sedang merangka pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) agar kawalan tenaga dapat ditentukan sendiri oleh rakyat Sabah.
“Selain itu, terdapat juga pelan pembangunan penjanaan fast track, pembinaan loji solar berskala besar serta pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) 100MW yang dipercepatkan jadual siapnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang merangkumi 16 strategi utama serta menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) bagi membolehkan kawal selia tenaga dan gas dilakukan di peringkat negeri.
“Semua ini adalah kerja nyata. Projek sudah berjalan, pelan sudah dirangka, dan pelaksanaan sedang dipercepat. Inilah bezanya kerajaan GRS dengan pembangkang – kita bekerja, mereka hanya bercakap,” katanya.