KUALA PENYU : Golongan muda perlu diberi ruang menjadi pemain penting dalam pembangunan, politik serta ekonomi di negara ini.
Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat berkata, generasi lama pula perlu memberi kerjasama membantu golongan muda itu bagi mencorakkan masa depan negara.

Katanyq, UMNO bahagian itu turut memberikan keutamaan untuk mendekati golongan muda kerana memikirkan golongan ini merupakan aset utama pembangunan negara pada masa akan datang.
“Sebahagian dari pendekatan kita sebelum ini mungkin sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.
“Sudah tiba masanya kita ke hadapan dengan membuka seluas-luasnya peluang kepada generasi pelapis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutuoan Pertandingan Bola Tampar campuran anjuran Wanita UMNO bahagian Beaufort dengan Kerjasama Pusat Daerah Mengundi (PDM) kampung Tenambak di sini semalam.
Awang Aslee merupakan Pengerusi Penasihat Pusat Giat Mara Parlimen Beaufort berkata, tidak kira sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, bidang ekonomi mahupun politik, peredaran masa harus disertai dengan idea termaju dan perubahan cara kerja.
“Persada politik umpamanya, memerlukan golongan muda sebagai pencetus pembaharuan yang nyata. Kita mesti berhenti memandang golongan belia hanya sebagai pengganti kepada generasi lama.
“Mereka seharusnya menjadi pemain penting di persada politik negara di waktu muda mereka kerana itu golongan ini perlu diberikan pendedahan awal,” jelas Awang Aslee.
Hadir sama Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort Jaludin Abdul Kadir, Naib Ketua Wanita, Norjanah Sabah, Setiausaha Bahagian, Abdul Rahman Mohd Taib, Ketua Pemuda Ak.Mohd Yazri Ak.Mohd Yahya dan Ketua Puteri Munira Sarie.