LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan berjaya menyita 55 unit kenderaan pelbagai jenis sepanjang tahun ini, membabitkan nilai rampasan termasuk cukai lebih RM7.1 juta.
Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag. Tuah, berkata operasi penguatkuasaan dijalankan di Sabah dan Sarawak oleh Pasukan Operasi JKDM bagi mengesan pemilik yang gagal mematuhi syarat di bawah Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
Menurut beliau, kenderaan berkenaan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) menggunakan kemudahan pengecualian tetapi tidak dikembalikan selepas tamat tempoh yang dibenarkan.
“Semua kenderaan disita dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Labuan.
Aspalila menegaskan, kenderaan yang dibeli di Pulau Bebas Cukai Langkawi dan Labuan hanya dibenarkan berada di KUK tidak lebih 90 hari dalam setahun.
