Francais jadi laluan pantas belia ceburi perniagaan, kata Ewon

KOTA KINBALU: Model perniagaan francais dilihat sebagai antara laluan paling realistik untuk golongan muda menceburi dunia keusahawanan ketika kos memulakan perniagaan baharu semakin tinggi dan risiko kegagalan kekal besar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick berkata francais memberi kelebihan dari segi struktur perniagaan, latihan dan sokongan pemasaran.

Katanya, faktor ini penting kepada belia yang berdepan kekangan modal dan pengalaman.

“Francais membolehkan usahawan muda bermula dengan model yang telah terbukti.

“Ini mengurangkan risiko kegagalan berbanding membina jenama dari awal,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ewon menyorot contoh dua rakan kongsi francaisi berusia 26 tahun yang mengendalikan outlet berkenaan dan telah menggaji 10 pekerja sekali gus menyumbang kepada penciptaan pekerjaan tempatan.

“Dalam situasi ekonomi semasa, keupayaan belia bukan sahaja menjana pendapatan sendiri tetapi juga mencipta pekerjaan adalah sesuatu yang signifikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa akses kepada pembiayaan kekal sebagai cabaran utama golongan muda untuk menyertai sektor francais, khususnya apabila kos yuran francais, sewaan premis dan operasi meningkat.

Sehubungan itu, Ewon berkata kerajaan negeri dan Persekutuan menyediakan pelbagai skim sokongan termasuk pembiayaan, latihan serta bimbingan keusahawanan bagi memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kerajaan melihat PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negeri. Francais adalah antara platform yang lebih tersusun untuk belia memulakan perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” katanya.

SugarBun merancang membuka 40 outlet baharu dalam tempoh tiga tahun, satu perkembangan yang menurut Ewon berpotensi memperluas peluang keusahawanan dan pekerjaan, khususnya di Sabah.

Beliau turut berharap jenama tempatan itu mampu berkembang ke peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah dalam rantaian industri francais nasional.