Fairuz Renddan Letak Jawatan, Bertanding Bebas di DUN Pintasan

KOTA BELUD: Bekas Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan, mengesahkan beliau telah menghantar surat perletakan jawatan kepada parti itu petang Jumaat lalu.

“Saya sudah menghantar surat perletakan jawatan bagi jawatan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Pintasan dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah. Pejabat menerima surat saya pada pukul 2.45 petang,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Langkah itu dibuat susulan kenyataan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohammad Razali Razi, bahawa ahli parti yang bertanding atas tiket bebas dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah 2025 akan dipecat serta-merta.

Pagi tadi, Fairuz hadir di Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak bagi menyerahkan borang penamaan calon bebas bagi kerusi DUN Pintasan. Ribuan penyokong hadir dengan memakai baju T-shirt hitam sambil melaungkan sorakan “Kita Lawan”.

Fairuz, merupakan penyandang kerusi DUN Pintasan sejak menang pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Sabah ke-16, 2020, dengan majoriti tipis 84 undi menewaskan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia,

Kini Fairuz bertanding sebagai calon bebas selepas namanya digugurkan daripada senarai calon Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekaligus memberi laluan kepada Pandikar sebagai calon GRS bagi kerusi tersebut.