Ewon sedia undur diri jika AGC fail rayuan isu 40 peratus hasil Sabah

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Sabah menerima semula 40 peratus hasil persekutuan.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata pendirian itu sejajar dengan resolusi yang diluluskan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang hari ini.

“Jika AGC tetap memfailkan rayuan, saya akan menghormati keputusan parti dengan mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di konvensyen tersebut.

Menurut Ewon, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet minggu depan bagi merekodkan secara rasmi pendirian UPKO agar Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober lalu.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal hak Sabah dan soal prinsip.

Saya tidak dapat menyokong mana-mana keputusan yang bercanggah dengan penghakiman Mahkamah Tinggi itu,” tegasnya.

Katanya lagi, keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah mengiktiraf hak 40 peratus sebagai hak perlembagaan Sabah, dan sebarang tindakan yang menafikan keputusan itu bercanggah dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya bersedia mengundurkan diri demi mempertahankan hak perlembagaan Sabah dan menghormati semangat penubuhan Malaysia,” katanya lagi.