KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menyatakan kesediaannya untuk menawarkan kepimpinan semula dan mempertahankan jawatan Presiden parti itu bagi penggal seterusnya dalam pemilihan UPKO 2026.
Beliau berkata, pemilihan parti akan diadakan di semua peringkat dengan Kongres UPKO dijadual berlangsung pada 8 dan 9 Ogos ini, selaras dengan perlembagaan parti.
Menurutnya, proses pemilihan perlu dilaksanakan secara telus dan berhemah agar mampu melahirkan kepimpinan yang bersatu serta diterima rakyat.
“Saya berharap pemilihan ini menjadi medan penyatuan, bukan perpecahan. Parti memerlukan kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan benar-benar berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17.
Dalam pada itu, Ewon menegaskan keperluan memperkukuh jentera parti di semua peringkat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
