Ewon mahu agensi KUSKOP perhebat pembangunan usahawan luar bandar

TELUPID: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, mahu semua agensi di bawah kementeriannya memperhebat usaha membangunkan usahawan luar bandar dan pedalaman agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan keusahawanan negara.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan komuniti luar bandar mendapat manfaat daripada peluang ekonomi yang disediakan kerajaan, memandangkan mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor logistik dan kos operasi perniagaan yang tinggi.

Ewon berkata, KUSKOP dan semua agensinya perlu terus turun ke lapangan bagi memperkukuh gerakan keusahawanan serta koperasi sebagai platform kemajuan ekonomi rakyat dan usaha menangani kemiskinan luar bandar. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Mesra Usahawan TEKUN Nasional Telupid di Dewan Kampung Gana Jati, Nangoh, di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga tahun ini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM109 juta kepada 2,006 usahawan di seluruh Sabah, termasuk RM8.5 juta kepada 207 usahawan di daerah Telupid. Pelbagai inisiatif khusus untuk Sabah dan Sarawak turut diperkenalkan sejak pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara dua tahun lalu.

Antara inisiatif berkenaan ialah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) oleh TEKUN Nasional bagi menyokong peniaga di pasar tamu Sabah dan Sarawak, serta Skim Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus) oleh SME Corp Malaysia. Selain itu, kementerian turut melaksanakan Projek Tamu Desa bagi menaik taraf kemudahan dan persekitaran pasar tamu luar bandar, dengan tambahan peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2026.

Pada majlis sama, Ewon menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Usahawan TEKUN Nasional serta menyerahkan pembiayaan kepada usahawan tempatan.