Empat Kampung di Kukusan Kini Berwarta, Liew Yun Fah Persoal Kegagalan Bekas ADUN

MEROTAI: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, mengumumkan bahawa pewartaan empat kampung di DUN Kukusan kini diluluskan dan dokumen rasmi telah diserahkan baru-baru ini.

Empat kampung berkenaan ialah Kampung Sri Menanti, Kampung Airport Lama, Kampung Sentosa Blok 4, dan Kampung Hiltop. Sebelum ini, penduduk tinggal di kawasan tidak rasmi tanpa hak milik tanah.

Liew menegaskan, kelulusan ini membuktikan usaha pewartaan telah lama berjalan dan menafikan dakwaan kegagalan wakil rakyat terdahulu seperti yang tular dalam video.

Pewartaan ini memberi pengiktirafan rasmi kepada penduduk, membuka peluang pembangunan infrastruktur, kemudahan asas, dan program perumahan, sekaligus memberi harapan kehidupan lebih stabil dan teratur di DUN Kukusan.

Menurut Liew, pewartaan ini memberi pengiktirafan rasmi kepada penduduk dan membuka laluan bagi pembangunan infrastruktur serta kemudahan asas, termasuk jalan kampung, balai raya, bekalan air, dan program perumahan kerajaan.

”Kenyataan bekas ADUN ini seolah-olah mempersoalkan kelulusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang diwakili Datuk James Ratib yang menyerahkan kelulusan warta tersebut kepada penduduk kampung.

“Kepada Rina Jainal…Buka mata, jangan membuat kenyataan yang meludah ke langit terkena kepada muka sendiri.

”Sepatutnya beliau (Rina) bersyukur penantian penduduk kampung sehingga 80 tahun akhirnya dinikmati oleh mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pewartaan ini juga memberikan kepastian undang-undang kepada penduduk, serta membolehkan kerajaan merancang pembangunan kampung secara lebih sistematik untuk masa depan generasi akan datang.

Bagi Liew dan pihaknya, kelulusan ini membuktikan bahawa usaha menunaikan hak tanah penduduk telah lama dijalankan, dan dakwaan kegagalan wakil rakyat terdahulu tidak tepat sepenuhnya.

Penduduk yang telah menunggu puluhan tahun akhirnya mendapat pengiktirafan rasmi, sekali gus memberi harapan kepada pembangunan lebih teratur dan kehidupan lebih stabil di DUN Kukusan.