Ekonomi Sabah Tenat Di Bawah Warisan, Kini Pulih Hasil Reformasi Kukuh

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggambarkan kedudukan ekonomi negeri ketika mereka mengambil alih pentadbiran pada 2020 sebagai “kritikal”, sambil menuding kepada keputusan dasar era Warisan yang disifatkan tidak stabil dan tidak konsisten.

Data rasmi menunjukkan kemerosotan ketara sebelum pertukaran kerajaan berlaku. Saiz ekonomi negeri menjunam daripada RM85.6 bilion (2019) kepada RM77.8 bilion (2020) — kejatuhan hampir RM8 bilion atau -9.1 peratus.

Pelaburan langsung merosot hampir 40 peratus, manakala rizab kewangan negeri menyusut ke paras RM3.2 bilion pada 2019, sehingga beberapa projek awam terbantut sepenuhnya.

Menurut GRS, mereka mewarisi pentadbiran yang meninggalkan “lubang fiskal besar”, namun dalam tempoh empat tahun, hasil negeri melonjak lebih 30% antara 2021–2024.

Sabah merekodkan kutipan RM7 bilion pada 2022 dan RM7.6 bilion pada 2023, antara paras tertinggi dalam sejarah negeri.

Laporan Ketua Audit Negara 2023 mengesahkan kedudukan fiskal Sabah bertambah kukuh, dengan Consolidated Fund mencecah RM6.76 bilion serta aset dan pelaburan negeri bernilai lebih RM17 bilion.

Rizab negeri pula melonjak kepada RM8.6 bilion pada 2024 — peningkatan lebih 160 peratus berbanding semasa Warisan.

Sektor pelaburan turut menunjukkan pemulihan agresif, dengan lebih RM10 bilion pelaburan langsung diterima dalam sektor minyak dan gas, tenaga baharu, hiliran, pembuatan dan pelancongan. Angka itu bertentangan dengan era Warisan, ketika pertumbuhan ekonomi sudah merosot kepada 0.7% pada 2019, sebelum pandemik melanda.

Selepas GRS mengambil alih, ekonomi Sabah kembali mencatat pertumbuhan positif: 1.5% (2021), 3.9% (2022), 1.3% (2023) dan 1.1% (2024), dengan saiz ekonomi meningkat semula kepada RM84.3 bilion. Kerajaan negeri berkata pemulihan itu selaras dengan hala tuju Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beberapa projek infrastruktur kritikal yang tergendala sebelum ini turut disambung, termasuk rangkaian jalan raya, sistem bekalan air luar bandar dan pembinaan kemudahan awam.

GRS berhujah bahawa kestabilan politik yang mereka bentuk menjadi pemacu utama keyakinan pelabur serta kelancaran pembangunan.

GRS menegaskan trajektori itu membuktikan Sabah telah kembali berada di landasan ekonomi lebih stabil dan terancang, sambil menyifatkan pentadbiran mereka sebagai “faktor pemulihan” selepas kemerosotan yang diwarisi.