Dua wanita ditahan, tipu maklumat permohonan IC

TAWAU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan dua wanita dalam dua kes berasingan kerana disyaki memberikan maklumat palsu berkaitan permohonan kad pengenalan, Selasa lalu.

Tangkapan dibuat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah dalam operasi berasingan di Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Tawau.

Dalam kes pertama, seorang wanita tempatan ditahan kira-kira jam 12 tengah hari selepas dipercayai mengemukakan maklumat tidak benar sebagai pemohon bagi permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan.

Siasatan awal mendapati suspek memberikan butiran palsu semasa proses permohonan dokumen pengenalan diri berkenaan.

Dalam tangkapan kedua, seorang wanita warga emas ditahan kira-kira jam 2 petang di lokasi sama selepas disyaki mengaku sebagai ibu kepada pemohon ketika urusan permohonan kad pengenalan di JPN Daerah Kinabatangan.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

JPN Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memalsukan maklumat atau menyalahgunakan dokumen rasmi.