Dua tahanan lolos dari lokap berjaya ditahan semula di Semporna

SEMPORNA : Polis berjaya memberkas semula dua tahanan dipercayai melarikan diri dari tahanan polis menerusi Op Tutup dan Ops Kesan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, salah seorang banduan warga asing berusia 45 tahun berjaya diberkas ketika berada di kawasan semak berhampiran Dewan Masyarakat Semporna.

“Suspek terbabit dalam keadaan terbaring serta tertidur manakala tangan masih bergari ketika pihak polis menjalankan tangkapan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Ketika polis melakukan tangkapan suspek tersebut bertindak agresif serta cuba melarikan diri namun berjaya diberkas semula,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Farhan berkata, hasil pemeriksaan di sekitar kawasan tersebut, polis menemui sehelai seluar lokap berwarna ungu dipercayai milik suspek.

“Dalam perkembangan sama polis juga berjaya memberkas seorang lagi tahanan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mesra Sri Jaya Semporna.

“Hasil pemeriksaan di rumah terbabit mengesan suspek kedua merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun serta menemui sehelai seluar lokap berwarna ungu dipercayai milik suspek,” jelas Mohd Farhan.

Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap air kencing salah seorang suspek berkenaaan didapati positif dadah jenis Methampithamie (Syabu).

“Kedua-dua suspek ini akan disiasat dibawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekali.

“Mereka juga boleh disabitkan melalui Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952 memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun serta sehingga tiga tahun dibawah pengawasan pihak polis,” kata Mohd Farhan.

Menurutnya, pihak polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkaitan tahanan melarikan diri sehingga berkaya diberkas semula.