Dua remaja lemas ketika mandi di sungai

PAPAR: Dua remaja ditemukan lemas ketika mandi-manda di Sungai Pokdi Campsite, Mandalipau di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, mangsa masing-masing seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan kedua-dua mangsa telah ditemui oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Operasi turut melibatkan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari.