KOTA KINABALU: Penyertaan dua pemimpin kanan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Klias — Omar Shahron Osin dan Mohd Shahril Osin — dilihat memperkukuh lagi kedudukan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri kali ini.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata kemasukan semula Omar yang juga Naib Ketua Bahagian PGRS Klias bersama adiknya, Mohd Shahril yang merupakan Ketua Pemuda, amat dialu-alukan oleh BN.
“Turut bersama mereka ialah Ahli Jawatankuasa PGRS Klias, Mohd Yaakub Jilon. Ini petanda positif yang menyemarakkan semangat pengundi untuk menyokong calon BN di DUN Klias, Osin Jilon,” katanya.
Menurut Awang Aslee, langkah itu bukan sahaja memperkuatkan jentera BN di kawasan berkenaan, malah meningkatkan peluang parti memenangi kerusi DUN Klias.
“Mari kita bersatu memperkukuh perpaduan dan perjuangan dalam BN bagi mengembalikan kerajaan yang stabil serta prihatin terhadap rakyat,” tegasnya.
Beliau menambah, perkembangan tersebut membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan BN semakin pulih dan menjadi harapan untuk membawa kembali pentadbiran yang berkesan di peringkat negeri.
