Dua Maut Nahas Tiga Kenderaan di Jalan Apas

TAWAU: Dua individu maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Batu 16, Jalan Apas, Balung, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.26 petang itu, nahas membabitkan sebuah lori lima tan, Toyota Hilux dan sebuah motosikal.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dua mangsa iaitu penunggang serta pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Dua mangsa lelaki yang berada dalam lori lima tan mengalami kecederaan ringan selepas dikeluarkan oleh orang awam, manakala pemandu Toyota Hilux berusia 61 tahun turut cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama sebuah jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi sejauh 28 kilometer, sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.30 petang.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.