LABUAN: Dua pengusaha kedai runcit di kawasan luar bandar Labuan dikenakan notis kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan selepas gagal mempamerkan tanda harga barangan dalam pemeriksaan pematuhan hari ini.
Pengarah KPDN WP Labuan, Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Katanya, peniaga yang melakukan kesalahan penandaan harga boleh dikenakan kompaun atau denda sehingga RM50,000 bagi individu dan RM100,000 bagi syarikat jika disabitkan kesalahan.
“Majoriti peniaga mematuhi peraturan dan bekalan barangan kawalan mencukupi serta mudah diperoleh pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan amalan perniagaan beretika di bandar dan luar bandar.
