Dashboard MA63 Boleh Diakses Hujung Januari – Mustapha

KUALA LUMPUR: Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS JPM), membangunkan papan pemuka status terkini pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijangka boleh diakses pada hujung bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah mempersetujui perkara berkenaan sebagai usaha meningkatkan ketelusan dan akses perkembangan pelaksanaan MA63 kepada rakyat, terutama berkaitan tuntutan 40 peratus hasil hak Sabah.

“Kerajaan MADANI bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal konsisten memastikan hak, kepentingan dan kemajuan Sabah serta Sarawak terus dipelihara dan diperkasakan selaras semangat MA63, demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2026, hari ini.

Mustapha berkata, platform rundingan MA63 diperkukuhkan bawah Kerajaan MADANI menerusi penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Anwar, manakala Jawatankuasa Teknikalnya dipengerusikan Fadillah.

“Ini adalah pencapaian terbaik Kerajaan MADANI berbanding Perdana Menteri dan kerajaan terdahulu dalam menguruskan pelaksanaan MA63,” katanya.

Antara perkara diselesaikan bawah Kerajaan MADANI ialah pengiktirafan terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai jabatan teknikal bawah Arahan Perbendaharaan 182.

Selain itu, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas dan elektrik kepada Kerajaan Sabah serta Kerajaan Sarawak.

Mustapha berkata, baki 16 perkara MA63 sedang dirunding secara berterusan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak melalui MTPMA63 serta Jawatankuasa Teknikalnya dengan pemantauan rapi oleh BHESS JPM selaku sekretariat bersama semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata, BHESS JPM juga akan meneruskan usaha mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi berkaitan, pihak industri, akademia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memantapkan pelaksanaan MA63.