Curang tanpa niat’ jejas imej penjawat awam – James Ratib

KOTA KINABALU: Amalan “curang tanpa niat” dalam kalangan penjawat awam dilihat semakin membimbangkan kerana boleh menjejaskan imej perkhidmatan kerajaan, walaupun bukan dikategorikan sebagai rasuah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, perbuatan itu mungkin dianggap remeh, namun boleh membawa kesan kepada kredibiliti pentadbiran serta dikenakan tindakan tatatertib.

“Walaupun bukan jenayah, ia tetap mencemarkan imej perkhidmatan awam.

“Sebab itu, sistem tadbir urus yang jelas amat penting bagi memastikan tindakan yang adil dan konsisten terhadap penjawat awam,” katanya di sini semalam.

Program bertemakan “Setting Up the Boundaries” itu menekankan kepentingan penjawat awam memahami batasan dan tanggungjawab mereka dalam pentadbiran.

James berkata, rakyat bukan sahaja mahukan perkhidmatan, tetapi juga mahu ia disampaikan secara jujur, adil dan berkesan.

“Integriti adalah asas kecekapan pentadbiran dan kunci membina keyakinan rakyat. Ia harus merangkumi aspek moral, profesionalisme serta kesihatan mental,” katanya.